DOKTOR Mahathir Mohamad dilahirkan pada 10 Julai 1925. Dahulu beliau dikenali sebagai A Doctor in the House, judul memoirnya. “This is the story of Malaysia as I see it. This is also my story,” tulisnya. Tetapi kini, beliau lebih layak digelar A Doctor of Truly Asia.
Dua kali menjawat jawatan Perdana Menteri—sekali sebagai reformis, dan sekali lagi sebagai penumbang rejim. Mahathir bukan sekadar memimpin Malaysia, tetapi menjahit semula wajah Asia Tenggara dengan jarum visinya yang tajam dan benang ideologinya yang tebal.
Barat pernah melabel beliau sebagai keras kepala, rasis, anti-Semit dan angkuh. Namun negara-negara membangun melihat Tun Mahathir sebagai tokoh visioner sejati—seorang negarawan yang langka.
Pada usia 100 tahun, ketika ramai seusianya memilih untuk diam, Mahathir masih menulis, bersuara, malah menggoncang wacana kebangsaan. Beliau bukan sekadar bekas Perdana Menteri dua kali. Beliau adalah satu ideologi yang masih hidup.
Mahathir bukan hanya bernyawa—beliau masih menghidupkan bangsa yang dibentuknya. Dan seperti api yang enggan padam, beliau menolak untuk tenggelam dan menolak untuk dilupakan.
Sebagaimana watak utama dalam novel John Grisham yang keras kepala dan penuh taktik, Mahathir ialah the last statesman—seorang doktor yang menjadi pemahat bangsa. Beliau tahu bagaimana merawat tubuh rakyat dan bagaimana mengatur degupan jantung negara.
Dalam The Malay Dilemma (1970), Mahathir muda menentang sikap malas struktural dan penyakit mentaliti pascakolonial. Beliau mencetuskan dasar afirmatif—Dasar Ekonomi Baru (DEB)—bukan sekadar untuk keadilan ekonomi, tetapi untuk membentuk watak: Melayu yang rajin, kompetitif, dan yakin diri.
Mahathir bukan hanya membina lebuh raya, ibu kota baharu Putrajaya, dan pencakar langit, tetapi juga mendisiplinkan jiwa kolektif bangsanya.
Jika Eugen Ehrlich menyebut hukum yang hidup (Living Law) sebagai norma sosial sebenar yang mengatur kehidupan masyarakat, maka Mahathir ialah arkiteknya. Beliau membentuk hukum hidup masyarakat Malaysia melalui nilai yang ditanamkan—bukan sekadar undang-undang di atas kertas.
Melalui kempen “Bersih, Cekap, Amanah”, Mahathir menyeru rakyat supaya berasa malu jika rasuah, malu jika malas. Ini bukan diwajibkan melalui hukuman jenayah, tetapi diinternalisasi melalui sekolah, masjid, media, dan birokrasi.
Kempen “Budaya Malu” adalah hukum sosial yang digerakkan oleh negara. Inilah Living Law versi Mahathir: nilai yang lebih kuat daripada undang-undang, dan lebih mengikat daripada kuasa polis.
Islam dan Modeniti: Dua Sayap Hukum Hidup
Pada era 1980–1990-an, Mahathir memperkukuh peranan Islam dalam struktur negara: mendirikan JAKIM, memperluas kuasa Mahkamah Syariah, dan menggalakkan literasi agama. Tetapi pada masa sama, beliau memastikan keseimbangan dengan Common Law dan sekularisme fungsional.
Beliau membentuk dua sayap hukum: satu berakar dari nilai agama, satu lagi berpijak pada undang-undang rasional dan pembangunan. Ini antara sebab Malaysia mampu menjadi negara majoriti Muslim yang tetap moden dan relatif stabil dari segi undang-undang.
Mahathirisme bukan teokrasi. Ia ialah hukum hidup yang berani mengimbangi wahyu dan logik, kitab dan kalkulasi ekonomi.
Statistik membuktikan bahawa Mahathirisme bukan sekadar retorik. Kadar kemiskinan nasional merosot dari 49% (1970) ke 3% (2002). Kadar celik huruf meningkat dari 60% ke 93%. Pembangunan infrastruktur pesat: Putrajaya, KLIA, KLCC, jaringan lebuh raya PLUS. Peningkatan pemilikan hartanah Bumiputera dengan ketara.
Namun angka-angka itu tidak lahir hanya dari dasar ekonomi—tetapi hasil daripada perubahan mentaliti yang ditanam oleh Mahathir. Living Law itu berjalan—diam tetapi berkesan.
Kritik: Adakah Mahathirisme Demokratis?
Seperti mana-mana watak dalam novel Grisham, Mahathir juga mempunyai sisi gelap. Beliau pernah memenjarakan Anwar Ibrahim. Beliau mengatur urusan pengganti. Beliau mengawal media. Beliau menutup ruang awam bila dirasakan perlu. Kritikan daripada akademik seperti Farish A. Noor menilai Mahathirisme sebagai ideologi hibrid—pembangunan bercampur populisme autoritarian.
Namun Mahathir mungkin akan menjawab: “Lebih baik rakyat takut kepada nilai, daripada mati kerana malas dan rasuah.”
Hidupnya panjang, tetapi Mahathirisme belum selesai. Kini, saat Tun Mahathir memasuki usia 100 tahun, beliau masih tampil di forum, mengeluarkan kenyataan tajam, bahkan menulis memoir dan komentar politik. Tun M bukan sekadar sihat secara fizikal. Beliau aktif secara ideologi. Beliau belum selesai menulis takdir bangsanya.
Dalam satu wawancara tahun 2024, Mahathir berkata: “Saya masih mahu melihat Malaysia lebih baik daripada hari ini. Itu sebabnya saya tidak boleh diam.”
Ini bukan soal umur panjang. Ini tentang tekad yang panjang. Tun M ialah Api Melayu sejati Asia yang “taknak padam.”
“Taknak padam”—itulah frasa yang paling layak menggambarkan Mahathir dan ideologinya. Beliau bukan lilin kecil. Beliau ialah semenanjung obor yang membakar dirinya sendiri demi menerangi jalan bangsa. Beliau adalah luka dan lentera dalam satu tubuh.
Bagi rakyat Malaysia, Mahathir adalah pemimpin yang keras. Tetapi juga bapa yang membentuk watak nasional. Beliau bukan sekadar arkitek negara, tetapi pembentuk hukum hidup.
Hukum yang hidup bukan dari buku. Tetapi dari nilai yang diamalkan. Dan Mahathir, pada usia 100 tahun, tetap menjadi sebahagian dari hukum itu.
Epilog: Warisan
Mahathir bukan manusia sempurna. Tetapi tidak diragukan—beliau ialah manusia penting. Beliau mengubah wajah Malaysia. Beliau mencipta hukum hidup untuk rakyatnya. Dan beliau membuktikan bahawa idea yang menyala lebih kuat daripada usia jasad.
Kerana ideologi tidak pernah bersara. Api Living Malays tidak padam di bumi manusianya. Dan itulah Mahathirisme yang taknak padam. Tahniah 100 Tahun Tun M, A Doctor of Truly Asia. Tabik. (*)
Muhammad JONI;
Penulis adalah Ketua Jabatan Sosial Politik Undang-undang dan Advokasi PB ISMI (Ikatan Sarjana Melayu Indonesia),



